Komik Ini

My Photo
Komik Al-Fityan | Hasil garapan pena pelukis dan penulis muda Bumi Kinanah. Merupakan antara satu wacana dakwah Islami yang diadun dalam bentuk yang lebih kreatif dan inovatif. [Peringatan] Segala hasil karya di dalam blog ini adalah hakcipta komuniti ini. Anda dilarang untuk mengambil mana-mana kandungan yang tersiar di sini tanpa izin mereka yang berkaitan. Sebarang kemusykilan, sila hubungi pihak admin di alamat: alfityan[dot]moderator[at]gmail [dot]com

24 Ogos 2010

PUASA ITU MENAHAN



Antara kelebihan ibadah puasa, sesungguhnya pahalanya tidak terikat dengan bilangan dan gandaan tertentu. Bahkan diberi kepada orang yang berpuasa itu pahalanya tanpa dapat dihitung manusia, hanya Allah Yang Maha Tahu akan nilaiannya. Kerana kita tahu bahawa Allah SWT telah menentukan setiap amalan dengan peringkat dan darjat yang tertentu dengannya akan terzahir kekuasaan Allah SWT, maka kita sedia tahu kebaikan yang kita kerjakan akan dilipat gandakan sebanyak sepuluh yang semisalnya sehinggalah kepada 700 kali ganda. Ya, semua dengan bilangan yang terhad dan tertentu kecuali puasa. Sesungguhnya tidak termasuk dalam gandaan ini kerana kita juga sedia tahu sebagaimana datang kepada kita satu hadis yang bermaksud :-

" Setiap amalan anak adam itu dilipat gandakan,satu kebaikan semisal 10 gandaan dan sehingga 700 kali ganda. Berfirman Allah Taala :- Melainkan puasa sesungguhnya ibadah itu untukku dan hanya akulah yang akan memberikan ganjarannya. Sesungguhnya hambaku meninggalkan segala syahwat, makan dan minumnya semata-mata kerana ku."

Inilah kelebihan puasa atas segala amalan. Amalan yang padanya tidak dihitung dengan gandaan satu atau 700 bahkan pahala itu amat besar saat kita datang mengadap Allah SWT lalu dibentangkan kepada kita pahala puasa yang Allah sendiri yang menentukannya.

"Puasa itu untukku dan kelak pahalanya aku yang akan berikan." 

Kerana dalamnya telah diasas keikhlasan, rahsia hati antara hamba dan pencipta. Kerana lafaz puasa membawa erti "menahan". Untuk menahan sesuatu, bukanlah dari anggotanya bahkan hati itu punca dan kuasa menahan. Angkatlah tangan orang yang tidur kemudian tangan itu akan jatuh kembali. Itu kerana hatinya tidak mahu tangan diangkat dan begitulah sebaliknya walau diikat namun kerana hati itu mahu, kelak ikatan itu akan diungkai. Tangan itu tinggi dijulang bila hati yang mengarahkannya. Hati itulah tempat suluhan Allah.

Kerana puasa itu juga sumbernya hati, sifatnya menahan dan mengarah lantas Allah melatih kita mentarbiah hati biar mampu menahan dan kuat menegah hatta makanan yang halal kita kesampingkan, minuman yang begitu lazat kita ketepikan sekalipun berdiri di terik hari,  tekak kering macammana sekalipun tetap hati menahan diri dari minum. Nah, lihatlah jika yang halal kita kesampingkan semata-mata kerana Allah SWT bagaimana pula dengan yang haram itu, terlebih mampu kita tinggalkan. 

Moga kita yang lahir dari tarbiah Ramadhan ini adalah insan yang mampu untuk menegah dan mampu untuk menahan segala macam perkara yang haram dan merosak iman kerana puasa itu tidak hanya diperut atau terhad pada mana-mana anggota. Rahsia hamba dan tuhannya tidak nampak di mata manusia, maka hati-hatilah jangan sampai hanya lapar dan dahaga kita kecapi namun tiada ganjaran yang kita perolehi. Semoga Ramadhan kali ini kita menjadi umat yang lebih baik!

-menoufiaz-

Tiada ulasan: