Komik Ini

My Photo
Komik Al-Fityan | Hasil garapan pena pelukis dan penulis muda Bumi Kinanah. Merupakan antara satu wacana dakwah Islami yang diadun dalam bentuk yang lebih kreatif dan inovatif. [Peringatan] Segala hasil karya di dalam blog ini adalah hakcipta komuniti ini. Anda dilarang untuk mengambil mana-mana kandungan yang tersiar di sini tanpa izin mereka yang berkaitan. Sebarang kemusykilan, sila hubungi pihak admin di alamat: alfityan[dot]moderator[at]gmail [dot]com

27 Julai 2011

Bengkel & Gathering Khas Krew Serta Sahabat Al-Fityan 2011 Berlangsung Dengan Meriah


24-25 Julai, Kaherah : Krew Unit Komik Al-Fityan telah membuka tirai taqwim unit sebaik sahaja selepas tamat musim peperiksaan akhir dengan mengadakan bengkel dan gathering khusus untuk krew serta sahabat Al-Fityan PMRAM. Bertempat di Dewan Syeikh Abdul Halim Rumah Pahang, Hayyu ‘Asyir, Kaherah Mesir, bengkel tertutup kali ini telah berjaya menghimpunkan seramai 28 orang sahabat dan 16 orang krew yang terdiri daripada siswa pengajian Islam dan perubatan. Bengkel telah diadakan selama dua hari berturut-turut bermula seawal jam 7.00 pagi hingga 6.00 petang. Bertepatan dengan tema dan objektif bagi melahirkan pelapis dalam dunia lukisan komik Islami, bengkel kali ini dilihat sebagai bengkel yang paling berjaya sepanjang unit ini ditubuhkan.

Diantara modul yang ditampilkan pada hari pertama ialah melalui bengkel  1 dengan mengadakan sebanyak tiga slot yang terdiri daripada teknik melukis asas kartun orang lidi yang dikendalikan oleh moderator saudara Nasrullah, Rushdi, Naqib dan saudari Zakiatun Nazneen. Seterusnya teknik melukis mimik muka oleh saudara Aiman serta  teknik melukis lipatan dan latarbelakang oleh saudara Naqib dan Rushdi. Aktiviti bertambah menarik apabila diadakan slot bedah siasat hasil karya peserta oleh para kartunis Al-Fityan berdasarkan kumpulan yang telah dibahagikan.

Bengkel ke-2 diteruskan pada sebelah petang oleh moderator saudara Al-Amin dan Amin melalui pembentangan tentang asas menggunakan adobe photoshop. Hari kedua diteruskan dengan sambungan rekabentuk grafik terutama yang berkaitan dengan pembikinan sesebuah komik.
Melalui moderator saudara Rushdi dan saudari Fatimah Az-Zahra’, peserta turut didedahkan dengan teknik mewarna secara digital di dalam bengkel ke-3.  Bedah siasat hasil karya pada slot ini menunjukkan peserta yang hadir bukan sahaja berbakat dalam bidang lukisan, tetapi sedia mahir dalam mewarna hasil karya mereka sendiri melalui medium digital.

Slot pengisian ditutup dengan pembentangan dalam bengkel ke-4 oleh saudara Hakimi dan Aiman berkaitan penulisan dan menyambung skrip penceritaan atau dialog. Walaupun peserta yang hadir dilihat keletihan terutama diatas keterlewatan jamuan makan tengah hari, namun suasana bertukar menjadi ceria apabila diadakan slot tambahan iaitu slot peserta mengkomen karya krew.

Bengkel kali ini turut membincangkan beberapa cadangan dan permasalahan dalam perjumpaan krew bersama Ketua Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM saudara Zulhafeez Ahmad Zahidi dan Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan saudari Kamilah Che Razali. Peserta terbaik bahagian ikhwah, telah diberikan kepada saudara Ahmad Husaini dan peserta terbaik bahagian akhwat pula disandang oleh saudari  Nurul Su’aidah. Turut diadakan penyampaian cenderahati karikatur daripada pengarah bengkel, saudara Al-Amin Hj Salleh  kepada saudara Zulhafeez Ahmad Zahidi, Ketua Badan Penerangan & Penerbitan PMRAM 2011/2011, serta cenderahati  kepada Ketua Unit Penerangan dan Penerbitan HEWI PMRAM daripada timbalan pengarah bengkel, saudari Nur Afzan Kassim. 

Krew Al-Fityan mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam program yang dilihat paling berkesan dalam menggabungkan krew dan sahabat bagi menggarap generasi pelapis dalam dunia lukisan komik Islami di Mesir. Semoga segala ilmu dan perkongsian yang diberikan dapat memberikan manfaat dan menjadi salah satu medium bagi melebarluaskan dakwah baik di Mesir mahupun di tanah air kelak.

1 ulasan:

Si Kandil Hijau berkata...

1 kenangan manis juga utk krew yg dah nak pencen =)

Love Al-Fityan!